KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) mula menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di wilayah Nurdagi, Gaziantep pada Khamis.

Menggunakan peralatan pengesan, pasukan SAR menerusi perkongsian di Facebook SMART pada Khamis, berkongsi lokasi tapak perkhemahan sementara mereka - Base of Operations (BoO) Pasukan SMART, MAS-01, NADMA di Nurdagi, Gaziantep.

Menerusi perkongsian itu, pasukan pasukan paramedik SMART berkenaan turut dilihat membantu salah seorang mangsa yang mengalami serangan jantung di lokasi kejadian.

Dua kumpulan pasukan SMART dari Malaysia tiba di 'ground zero' untuk usaha SAR dan menghulurkan bantuan kemanusiaan di wilayah-wilayah terjejas.

SMART Malaysia

BACA SEMUA BERHUBUNG GEMPA BUMI TURKIYE DI SINI 


DARURAT DI KAWASAN TERJEJAS

Terdahulu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah mengiystiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah supaya operasi SAR serta usaha lain dapat dijalankan dengan pantas.

Terkini, lebih 15,000 terkorban di Turkiye dan Syria, dengan usaha SAR dipergiat dan usaha lain dapat dijalankan dengan pantas. 

Awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Kahramanmaras, diikuti gempa susulan 7.6 pada skala Richter kira-kira sembilan jam kemudian menggegarkan wilayah itu hingga menjejaskan beberapa wilayah lain termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Gempa bumi turut dirasai di beberapa negara di rantau ini, termasuk Lubnan dan Syria.

Sementara itu, Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye dalam kenyataan awal memaklumkan, seramai 60,218 pegawai kecemasan dikerahkan di kawasan itu, termasuk 3,200 kakitangan dari 65 negara.


Gempa Turkiye

'Bencana terbesar' sejak gempa bumi Erzincan pada 1939 yang meragut puluhan ribu nyawa, Turkiye kini sedang melakukan pemantauan selama tujuh hari.

Semua acara sukan kebangsaan di Turkiye ditangguhkan sehingga diberitahu kelak dan semua sekolah di negara itu juga akan ditutup sehingga Selasa ini dan sekolah di 10 wilayah terjejas sehingga 20 Februari.

Beberapa parti yang mewakili Parlimen iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AK), Parti Rakyat Republik (CHP), Parti Baik (IYI), Parti Gerakan Nasionalis (MHP) dan Parti Demokratik Rakyat (HDP) turut mengeluarkan kenyataan bersama mengenai tragedi itu.

"Sebagai wakil Speaker Parlimen Turkiye dan lima parti politik yang mempunyai kumpulan dalam dewan, kami bersatu dan berkhidmat untuk rakyat kami," kata kenyataan itu.

Terdahulu, pada Isnin lalu, Erdogan dilaporkan berkata berikutan gempa bumi itu, Turkiye digegarkan oleh 'bencana terbesar' sejak gempa bumi Erzincan pada 1939.

Turkiye turut mewujudkan koridor bantuan udara menerusi angkatan tenteranya selepas gempa bumi awal untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke rantau itu.

Sejumlah besar pesawat pengangkut, termasuk A-400Ms menghantar pasukan mencari dan menyelamat serta kenderaan ke rantau berkenaan.

Pesawat ambulans juga menggunakan koridor bantuan udara.

Hampir 9,000 tentera Turkiye turut bergegas membantu rakyat di kawasan bencana.

"Rakyat kami yang terjejas oleh gempa bumi sedang ditempatkan di berek Komando Tentera Kedua kami di Malatya," kata Kementerian Pertahanan Negara Turkiye menerusi ciapan Twitter.

Selain itu, penerbangan dua dron Akinci yang digunakan untuk menyelaraskan kerja di kawasan bencana diteruskan.

Selain pasukan penyelamat, selimut, khemah, makanan dan pasukan sokongan psikologi turut dihantar ke kawasan terjejas.



Astro AWANI akan membawakan perkembangan terkini dari semasa ke semasa misi SAR SMART di Turkiye.